PENDIDIKAN
Pendidikan mengikut pandangan umum ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian, jasmani manusia. Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk menwujudkan insan yang hormonis dan seimbang dari segi intelek, rohani,emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.
Pendidikan adalah salah satu agenda besar yang boleh mempengaruhi kualiti dan ketamadunan sesebuah bangsa di dunia. Manusia akan dianggap mundur sekiranya tiada pendidikan. Individu dan keluarga yang berilmu dan meletakkan ilmu sebagai cara hidup akan lebih mudah membuat satu keputusan yang tepat (Wan Hassan 2007). Ikatan silaturahim dalam keluarga dan masyarakat juga akan lebih kukuh.
Bukan itu saja, Pendidikan juga merupakan satu proses menyampai dan menimba pengetahuan untuk membangunkan daya intelek dan keyakinan diri manusia. Seterusnya, pendidikan juga akan meningkatkan kematangan untuk memberikam pendapat dan berhujah semasa menjalani kehidupan sebenar.
Justeru, pendidikan memberi maksud segala pengalaman yang diperoleh melalui pancaindera yang memberi kesan kepada pemikiran manusia.Oleh itu, Maklumat yang diterima secara berstruktur akan membentuk fizikal dan tingkah laku manusia. Pengetahuan, kemahiran dan nilai murni akan diwarisi dari generasi ke generasi dalam proses membangunkan ketamadunan negara bangsa secara berterusan.
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Falsafah pendidikan kebangsaan digubal pada tahun 1979, pada awalnya dikenali sebagai Falsafah pendidikan negara dan kemudiannya di tukar kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPK) pada tahun 1998. Dalam sistem pendidikan kebangsaan sebelum ini, ianya tidak dinyatakan secara bersurat.
Walaubagaimanapun, hasrat dan matlamat pendidikan Negara telah dicerminkan dalam Penyata Razak, Laporan Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Dalam konteks pembangunan negara, sistem pendidikan kebangsaan ini dikaitkan pula dengan prinsip rukun negara.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan hala tuju atau panduan terhadap perkara-perkara yang berhubungkait dengan pendidikan. Falsafah pendidikan negara Malaysia dibentuk berfokus terhadap perpaduan negara kerana Malaysia merupakan negara yang rakyatnya terdiri daripada masyarakat majmuk dengan tiga kaum utama yang ada iaitu Melayu,Cina dan India.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengambarkan hasrat negara untuk menghasilkan warganegara yang baik iaitu insan yang berilmu,berakhlak mulia, bertanggungjawab,berketerampilan, sejahtera diri dan mapu menjaga keharmonian keluarga,masyarakat dan negara. Hasrat negara ini dijayakan melalui pendidikan yang merupakan proses yang berterusan, selain menjadi panduan semua aktiviti yang dilaksanakan di negara ini.
DASAR PENDIDIKAN
Bermula tahun 1960, Laporan Rahman Talib telah disemak semula dan kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961. Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai.
Sistem pendidikan dizaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan tersebut mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini kemungkinan sesusai sewaktu Tanah Melayu masih dalam keadaan di jajah. Akan tetapi, apabila tanah melayu mencapai kemerdekaan sistem digubal kerana tidak lagi sesuai.
Berikut adalah perincian nota berkaitan Dasar Pendidikan Kebangsaan mengikut kategori Sebelum dan Selepas Merdeka.
Secara umumnya, dasar pendidikan sesebuah negara digubal pada peringkat pusat oleh Kabinet, Kerajaan dan Kementerian Pendidikan melalui sistem Jawatankuasa. Penggubalan ini bertujuan untuk membentuk satu sistem pendidikan yang seragam serta menyeluruh di samping boleh diterima pakai seluruh negara.
Dalam pada itu, pengubalan adalah satu usaha yang rumit harus dilakukan dengan teliti serta perlu kepada kajian dan dilihatg dari pelbagai sudut agar tidak berlaku penyelewengan. Dasar pendidikanmerupakan satu sistem rangkaian maklumat atau media yang menjelmakan idealisme, falsafah, matlamat dan objektif pendidikan negara.Selain daripada itu, dasar pendidikan yang digubal memberi tumpuan kepada pelbagai aspek dan komponen dalam sistem pendidikan termasuk pendidikan formal, jenis pendidikan, kurikulum, pentadbiran, penyertaan dan agihan infrastruktur.
Golongan yang dipertanggungjawabkan mengubal dasar ialah golongan yang diberi kuasa oleh kerajaan iaitu golongan pemimpin, pemerintah atau pentadbir. Dasar ini digubal bertujuan untuk melindungi hak, status,prestij dan faedah bagi seluruh organisasi atau masyarakat. Elemen yang mempengaruhi unsur pendidikan ialah masyarakat, dan ia adalah penentu kepada sistem pendidikan kerana ia bersangkutan ideologi negara.Selain itu, ia juga dilihat dari aspek orientasi sosial, orientasi ekonomi,orientasi politik, orientasi pembangunan, fahaman agama, kepelbagaian kaum, teknologi dan pengaruh perkembangan antarabangsa.
Selain itu, pengubalan dasar dan keputusan mengenai urusan pendidikan negara dilakukan pada peringkat tertinggi iaitu Kementerian Pendidikan melalui Sistem Jawatankuasa. Oleh itu, dasar-dasar baru yang ingin dilaksanakan diumumkan secara langsung oleh Menteri Pendidikan atau melalui pekeliling-pekeliling rasmi ke Bahagian-bahagian, Jabatan Pendidikan Negari dan Sekolah-sekolah.
PEMBANGUNAN INSAN DAN NEGARA DALAM PENDIDIKAN
"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang sebuah negara yang aman makmur tetapi jika sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang berlaku" Yusof Al-Qaradhawi. Secara tuntasnya, sistem pendidikan akan memberi impak terhadap pembangunan insan.
Pembangunan insan melalui pendidikan nampak jelas dan nyata untuk melahirkan insan yang cemerlang dari segi emosi,jasmani, intelek dan rohani setelah Falsafah Pendidikan Negara diperkenalkan. Penambahbaikan yang dijalankan mengakibatkan sistem pendidikan kita semakin sistematik. Oleh itu, Falsafah Pendidikan yang digunapakai akan merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai masyarakat majmuk yang bersifat sejagat.
Seterusnya,Pembangunan insan merupakan satu proses membentuk dan mendidik manusia secara seimbang dan holistik. Ia merangkumi aspek jasmani,emosi, rohani, fizikal, intelektual dan sosial untuk kepentingan duniawi dan ukhrawi. Proses ini memerlukan kepada usaha yang konsisten agar tidak berlaku kepincangan di mana-mana peringkat pelaksanaan.
Dalam konteks Negara kita, modal insan yang seimbang merangkumi segala aspek hidup dan kehidupan merangkumi aspek jasmani,emosi,rohani dan intelek perlu diwujudkan dan dilaksanakan dengan mengamalkan konsep Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan secara umumnya ialah perubahan ke arah menjadi insan yang baik sekaligus beradab, Azhar Hj.Wahid dan Zawawi Jahya (2009). Tegasnya pendidikan adalah untuk pembangunan insan dan seterusnya pembangunan negara. Nyatanya sebelum seseorang individu dapat memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara daripada aspek-aspek dimensi sosial, terlebih dahulu seseorang individu tersebut perlu membangunkan dirinya sendiri daripada aspek-aspek dimens intrinsik.
Comments
Post a Comment